Isnin, 22 Disember 2014

Dari KL ke Hat Yai dan Krabi, Thailand (Bhgn 5 - Akhir)

Rabu, 3 hb Disember 2015. Hari ini adalah hari terakhir kami kami berada di Thailand. Sebelum check out dari hotel, pagi lepas sarapan kami pergi menunggang gajah di satu tempat yang tak jauh dari Ao Nang. Seronok juga pengalaman ini. Gajah dikendali oleh orang tempatan yang pakar tentang haiwan ini. Kami bergerak berkumpulan di celah-celah pokok getah yang menjadi trek laluan aktiviti ini. Kami juga di bawa berendam di dalam sungai bersama dengan gajah-gajah tersebut.








Menjelang tengahari kami pun berangkat meninggalkan Ao Nang. Dalam perjalanan balik kami singgah di pekan Krabi untuk makan tengahari dan membeli sedikit t-shirt kenang-kenangan serta buah tangan. Rupa-rupanya t-shirt yang dijual di kedai ini jauh lebih murah dengan t-shirt yang dijual di Ao Nang, kerana menurut pemilik kedai ini yang boleh berbahasa Melayu, t-shirt di kedainya dihasilkan sendiri dan dia juga membekalkan t-shirt untuk gerai-gerai sekitar sini. 

Tak lupa juga kami berhenti di kawasan tepi sungai bandar Krabi di mana terletaknya 'ketam besar' yang agak terkenal kepada pelancong yang mengunjungi Krabi ini. Dia orang kata tak sah kalau tak ambil gambar kat sini... hehehe.


Sepanjang perjalanan pulang cuaca mendung dan diselang dengan hujan lebat di beberapa tempat yang kami lalui. Bagus juga memandu dalam keadaan hujan ni, tak terasa penat dan mengantuk berbanding memandu jika cuaca panas terik.

Alhamdulillah.. malamnya seperti yang dirancang kami tiba di Kulim di rumah adik. Malam tu kami berbual, minum-minum dan hulurkan buah tangan mana yang ada sikit-sikit tu sebelum berehat semalam di rumah adik.

Keesokannya kami menyambung perjalanan balik ke KL. Alhamdulillah trip kali ini berjalan dengan lancar dan berjaya juga kami jayakan apa yang dirancang. Walaupun agak penat namun pengalaman jalan-jalan dengan memandu dari KL ke Hat Yai dan Krabi ini sangat memuaskan. Insyaallah ada kelapangan dan rezeki rasa macam nak ulang lagi trip seperti ini.


(Bahagian 1)
(Bahagian 2)
(Bahagian 3)
(Bahagian 4)






Sabtu, 20 Disember 2014

Dari KL ke Hat Yai dan Krabi, Thailand (Bhgn 4)

Pagi Isnin, 1 Disember 2014 lebih kurang pukul 10.30, kami mula bergerak ke Krabi dari Hat Yai dengan memandu kereta sendiri. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 4 jam jugalah. Dari Hat Yai perjalanan akan melalui Phatthalung - Trang - Krabi.

Wefie di Asian Hotel lepas check-out sebelum bergerak ke Krabi



Setibanya di Krabi kami terus menuju ke Ao Nang di mana letaknya hotel kami iaitu Ao Nang Miti Resort. Selepas check in dan berehat ala kadar sebentar dalam bilik hotel, petang itu kami jalan-jalan di sekitar Ao Nang dan santai-santai di pantai layan sunset.

Ao Nang Miti Resort

Bilik yang agak luas, 1 king size + 1 single bed

Ao Nang



Petang itu semasa jalan-jalan di Ao Nang kami cari pakej-pakej island hopping untuk aktiviti kami hari esok. Terdapat beberapa pondok pelancongan berhampiran pantai yang menawarkan pakej island hopping ini. Harganya boleh dikatakan standard sahaja. Kalau ada bezapun tak ketara sangat antara satu syarikat dengan yang lain. Seperti yang dirancang kami telah mengambil pakej ke Phi Phi Island.

Sebelah malamnya kami makan di gerai berdekatan dengan hotel sahaja. Hotel ini terletak dekat dengan kawasan masjid. Jadi di sekitar kawasan ini mudah untuk dapatkan kedai makan makanan halal.

Hari Selasa 2 hb Disember 2014, pagi-pagi lagi kami telah pergi sarapan dekat kedai makan berhampiran hotel, jalan kaki sahaja. Ini kerana seawal jam 8.30 pagi van island hopping akan datang ambil kami di hotel. Perutt perlu dialas juga sebelum aktiviti kami hari ini bermula. 

Selepas sarapan van pun sampai di hotel. Setelah van tersebut selesai menjemput semua pelancong dari hotel-hotel lain, kami semua dikumpulkan mengikut kumpulan pakej-pakej yang telah ditempah berhampiran pantai Ao Nang sebelum kami semua bergerak mengikut tour guide dan bot masing-masing. Untuk ke Phi Phi Island mereka menggunakan speed boat kerana jaraknya yang agak jauh.

Aktiviti island hopping ini memang sangat menyeronokkan. Kami dibawa ke beberapa buah pulau yang cantik-cantik dengan pasir yang putih dan air yang sangat jernih. Aktiviti yang bermula dari pagi ini dijadualkan tamat sekitar pukul 4:00 petang. Jadi kiranya memang puas jugalah berada di luar melayan pemandangan laut dan pulau. Pakej yang disediakan termasuk dengan makan tengah hari dan juga air serta buah-buahan yang disediakan di dalam bot di penghujuing aktiviti. Kalau hendak tulis tentang pengalaman ini memang akan jadi panjang berjela. Jadi biarlah gambar-gambar di bawah ini yang berbicara...

Bot tradisional, bot panjang di Bamboo Island

Phi Phi Island, tempat di mana penggambaran filem The Beach
lakonan Leonardo Dicaprio dibuat
















Sebaik aktiviti ini berakhir di sebelah petang, badan memang terasa kepenatan. Tapi hati terasa puas dengan pengalaman sendiri ketika berada di pulau-pulau cantik sekitar Krabi yang sering disebut oleh sesiapa sahaja yang pernah ke sini.

Malamnya kami menikmati makan malam di Restoran Lemon yang menyediakan makanan seafood dan tom yam di pekan Ao Nang. Boleh tahan sedap makanan di situ selain harga yang berpatutan.




AKAN BERSAMBUNG...







Rabu, 17 Disember 2014

Dari KL ke Hat Yai dan Krabi, Thailand (Bhgn 3)

Hari kedua kami di Hat Yai... Pagi dalam pukul 10:00, dua buah tuktuk yang kami sewa dah sedia menunggu kami di depan hotel. Hari ni kami akan ke Muzium 3D Hat Yai dan jalan-jalan ke Songkhla. Tapi sebelum itu kami dibawa bersarapan ke satu kedai yang boleh tahan sedap maskannya di samping ada menjual pelbagai jenis makanan. Dah lupa apa nama kedai ni, tapi memang ramai jugak la orang yang makan di sini terutamanya pelancong muslim dari luar macam kami. 

Nasi kerabu dengan daging bakar memang terbaik kat sini



Lepas habis sarapan tuktuk terus bawa kami ke Muzium 3D Hat Yai. Dalam muzium ni rileks sikit sebab aktivitinya indoor dan air-cond. Sebelum masuk tempat 3D kami tengok dulu persembahan silap mata. Anak-anak memang suka sangat la. Kita yang dewasa ni pun memang terhibur dengan persembahan dia orang.


Group photo bersama crew magic show  selepas
habis persembahan

Ini antara gambar-gambar yang di rakam semasa di dalam Muzium 3D. Ada dua tingkat ruang-ruang yang penuh dengan lukisan-lukisan 3D di dalamnya yang amat menarik.









Dari Muzium 3D kami bergerak ke bandar yang terletak berhampiran pantai di sebelah timur wilayah selatan Thailand ini, iaitu Songkhla. Perjalanan naik tuktuk ambil masa hampir sejam. Sampai di sana kami terus menuju ke kedai makan. Ada satu kawasan di mana terdapat banyak kedai-kedai makan yang menyediakan makanan halal dan dimiliki oleh peniaga muslim. Yang bagusnya kedai-kedai ini terletak betul-betul di kawasan pantai. Tapi kena pandai pilih la kedai mana yang sesuai.

Nasib tak berapa baik bagi kami tengahari tu, dah termasuk dalam kedai yang servisnya sangat lambat walaupun makanannya boleh dikatakan ok. Mungkin pemandu tuktuk kami yang berasal dari Hat Yai ni tak biasa dengan kedai makan di Songkhla ni. Terkena jugaklah kami pengalaman yang kurang manis... apa tidaknya tunggu hampir sejam untuk dapatkan semua yang kami pesan. Tapi kita pun tak tau... mungkinlah masa hari yang kami sampai tu pekerja dan tukang masak kedai ni tak sihat ke... manalah tau kan, bersangka baik aje la.


 

Kedai makan yang kebanyakannya mengadap pantai di Songkhla

Sabar menanti... hehehe

Selesai makan kami jalan-jalan dan lepak-lepak saja di kawasan tepi pantai yang berdekatan. Sambil bergambar kenangan dan sambil menghirup angin pantai di waktu petang. Kalau dah sampai di Songkhla ni dia orang cakap tak sah kalau tak ambil gambar dengan mermaid hehehe...

Gambar kenangan dengan 'mermaid'  Songkhla






Pemandangan sepanjang-panjang tepi jalan di kawasan pantai Songkhla

Selepas beberapa jam berehat di tepi pantai kami pun bergerak balik semula ke Hat Yai. Sebelah malam nanti tuktuk yang sama ni akan bawa kami jalan-jalan ke sebuah lagi pasar malam yang tak kurang ramai pengunjungnya. Pasar malam ini terletak jauh sedikit dari kawasan hotel. Kami ternampak tapak pasar malam ini semasa kami dalam perjalanan ke Muzium 3D pagi tadi.



Malam ini adalah malam terakhir kami di Hat Yai. Esok pagi kami akan check out dari hotel. Jadi sebelah malamnya selepas kami balik dari pasar malam tersebut kami habiskan masa dengan jalan-jalan lagi di sekitar kawasan Lee Garden. Makan-makan, minum-minum dan ada yang pergi urut kaki. Murah sangat kalau urut kaki di Hat Yai ni, sejam hanya 200 baht, lebih kurang RM20 je. 

Destinasi terakhir yang tuktuk tu bawa kami ialah ke sebuah restoran tomyam di Lee Garden iaitu Restoran Hamid untuk makan malam iaitu selepas selesai ronda-ronda dan membeli sedikit buah tangan di pasar malam yang saya sebutkan tadi. Restoran ini terletak berhampiran dengan hotel kami. Jadi kami boleh berjalan kaki sahaja dari sini untuk balik ke hotel nanti. Untuk satu hari penuh perkhidmatan tuktuk yang kami bayar ialah sebanyak 130 baht sebuah. Rasanya berbaloilah untuk sewa satu hari suntuk dari pagi sampai ke malam.




Esoknya ahli konvoi ini akan terpaksa berpecah dua. Dua buah kereta akan bergerak balik ke KL. Manakala kami sekeluarga akan meneruskan perjalanan kami ke Krabi. Tunggu sambungannya...