Jumaat, 29 Ogos 2014

Lemang Hari Raya Aidilfitri 2014 / 1435 Hijrah

Tahun ini giliran berhari raya di Kuantan. Hari raya kali ini jatuh pada hari Isnin 28 Julai 2014. Kami bercadang untuk membakar lemang secara kecil-kecilan pada petang hari raya. Kalau dapat sepuluh batang pun dah kira cukup la tu. Sebelum boleh membakar perlu pastikan semua bahan-bahan yang diperlukan telah tersedia. Antaranya buluh lemang, pucuk atau daun pisang muda, santan, pulut dan juga kayu api. 

Cari kayu api dekat dengan kawasan Pusat Ko-kurikulum Kg. Pandan



Mencari daun pisang hutan muda

Di sini saya nak kongsikan resepi lemang untuk 10 batang buluh saiz kecil, purata ukurlilit sebatang dalam 14cm. Pulut tiga kilo, kelapa lima biji, garam secukup rasa. Untuk wangi gunakan air rebusan daun pandan untuk memerah santan. Tak lupa juga kayu api satu bonet kereta sedan untuk tempoh membakar dalam empat ke lima jam. Cara membuat, masukkan daun pisang ke dalam buluh menggunakan pelepah pisang. Pastikan daun ada lebih di hujung atas mulut buluh dalam empat atau lima inci supaya santan tak mudah tumpah bila lemang sedang dibakar. Kemudian masukkan pulut sampai hampir penuh, tinggalkan hujung buluh dalam satu inci. Pastikan pulut di dalam buluh tidak longgar atau ada ruang kosong dan juga tidak terlalu padat. Boleh hentakkan buluh perlahan-lahan supaya kemampatan pulut sedang elok sahaja. Kemudian masukkan santan sehingga penuh dan lemang sedia untuk di bakar. Semasa dibakar dengan api sederhana buluh hendaklah sentiasa dipusing supaya tidak hangus. Juga bila santan hampir kering buluh harus dihentak-hentak agar pulut di dalamnya padat sekata.

Inilah saiz purata buluh yang kami guna... kira kecil la kalau saiz macam ni

Kayu api

Barang-barang seperti santan dan pulut disediakan terlebih dahulu. Pulut boleh direndam terlebih dahulu dalam air kalau mahu, lebih kurang selama tiga ke emapat jam. Jangan lupa juga untuk cuci sikit buluh-buluh lemang tersebut. Takut di dalamnya ada kotoran seperti serangga atau habuk. 

Mencuci buluh guna pelepah kelapa

Waktu tengahari kami mulakan operasi membakar lemang. Lebih kurang sekitar enam petang kami selesai membakar lemang. Ramadhan terakhir hari tu merupakan hari berpuasa yang paling penat bagi kami namun masing-masing puas dengan hasil lemang yang dibakar sendiri. 



Memasukkan pulut ke dalam buluh




Semoga pengalaman sebegini yang berpeluang dirasa anak-anak kami menjadi legasi mereka pula pada masa hadapan.