Ahad, 20 Julai 2014

Siram Pokok Secara Automatik Ketika Bercuti (Self Watering For Plants - DIY)

Bila tiba Hari Raya atau musim cuti sekolah ramai yang balik bercuti ke kampung atau bawa keluarga jalan-jalan makan angin. Cuti panjang-panjang macam mana dengan pokok-pokok di rumah yang ditanam dalam pasu atau polibeg. Dua hari tak siram pun dah kering. Kalau hampir seminggu memang masalah besar.

Maka terfikirlah pula untuk gunakan kaedah siraman automatik yang macam orang buat untuk sistem tanaman fertigasi tu. Mula-mula kena cari kedai yang ada jual alatan fertigasi. Tak semua kedai hardware atau nurseri ada jual alatan fertigasi ni. Saya beli dekat satu kedai di Seri Kembangan yang ada menjual alatan lengkap untuk sistem tanaman fertigasi. Harga pun berpatutan. Nama kedai tu Formeniaga Agri4me.

Antara alatan fertigasi yang digunakan: Tiub poli 16mm, micro tiub 4mm, penebuk lubang, dripper L dan penyambung T mikro.

Dah beli alatan kena la pasang dan buat setupnya secara d.i.y. Antara alatan yang saya guna untuk projek d.i.y ini ialah paip poli 16mm, tiub mikro 4mm, dripper L, fountain dripper, digital timer untuk elektrik dan pam akuarium saiz kecil yang memang dah ada dalam simpanan sebelum ini. Tak lupa juga kena sediakan satu bekas takungan air yang saiznya cukup untuk muatkan bekalan air yang diperlukan. Saya cuma gunakan tong sampah kat rumah tu je.

Wayar extension dan timer saya letakkan dalam peti surat dan dilindung sikit dengan beg palstik sebab takut basah kalau-kalau terkena air hujan.

Pam akuarium saiz kecil dalam tong

Untuk tahu banyak mana air yang diperlukan kita kena buat sikit kerja-kerja mencongak. Bila setup fertigasi dan pam akuarium dah siap terpasang kita uji dulu secara manual. Saya perhatikan untuk 20 polibeg yang saya ada tu, saya perlukan waktu siraman selama dua minit untuk pastikan tanah cukup basah dan tidak terlebih siram. Jadi kalau dua kali sehari semuanya empat minit diperlukan untuk satu hari. Maka untuk lima hari kita perlukan 20 minit. Dengan kaedah cuba jaya, saya tahu yang pam akuarium kecil yang saya gunakan memerlukan lebih kurang 25 minit untuk mengosongkan air yang penuh dari dalam tong. Sebenarnya saya ada satu lagi pam yang lebih besar sedikit. Mula-mula ingatkan nak pakai yang besar tu sebab pressure dia lagi kuat. Tapi tak sampai 10 minit habis air satu tong dia pam, jadi ianya memang tak sesuai. 

Tong sampah saiz biasa tu boleh la cukup takungan air untuk kegunaan empat ke lima hari bergantung kepada setting timer yang kita buat. Jadi untuk projek ni saya setkan timer dua kali sehari. Setiap kali siraman selama dua minit. Pukul 7:00 pagi dua minit, pukul 7:00 petang dua minit.

Set siraman fertigasi yang baru dipasang

Pokok cekur manis yang baru nak berpucuk, kalau tak bersiram cuti raya ni memang musnah la harapan

Alhamdulillah, sekembalinya dari beraya di kampung semua pokok-pokok yang saya tanam masih tetap hijau walaupun ditinggalkan hampir seminggu tidak berjaga. Untuk masa akan datang saya bercadang untuk membeli water timer ataupun irrigation timer yang beroperasi menggunakan bateri. Saya jangka penggunaannya lebih mudah sebab tak perlu sediakan takungan air dan sediakan elektrik. Pasang terus pada saluran paip dan sambungkan pada set fertigasi yang dah sedia ada ni. Kalau dah jadi nanti saya update di sini.

(UPDATE 1)
(UPDATE 2)