Isnin, 9 Februari 2015

Takau Hijau (Green Broadbill)

Burung Takau Hijau adalah spesis burung yang dilindungi sepenuhnya di Malaysia. Saiznya secara relatif adalah kecil berukuran kurang dari 15cm. Yang uniknya dengan penampilan burung ini ialah paruh atasnya dilindungi oleh bulu-bulu halus yang tumbuh di hampir semua bahagian atas paruh.

Warna hijau yang jantan lebih terang berbanding yang betina. Warna burung jantan juga dapat dibeza dengan adanya satu titik hitam di bahagian belakang telinganya di samping ada tiga jalur hitam yang lebar di bahagian atas sayapnya.


Burung Takau Hijau jantan



Burung betina hijaunya lebih pudar sedikit. Dan tidak terdapat sebarang tompok warna hitam pada mana-mana bahagian badannya.

Burung Takau Hijau betina



Kehadiran burung Takau Hijau di habitatnya jarang-jarang disedari. Selain dari kerana warna hijaunya yang seakan sama dengan persekitaran hutan, tabiatnya yang gemar bertenggek dengan mendiamkan diri di dahan-dahan rendah juga menyukarkan lagi untuk kita menyedari kehadirannya. Selain dari itu bilangannya yang semakin kurang dengan status 'near threatened' menyukarkan lagi peluang untuk kita melihat mereka di habitat asal.

Sarang burung Takau Hijau seringkali dibina pada aras yang rendah dari permukaan lantai hutan. Tabiat yang sebegini juga boleh menambahkan lagi risiko lain yang boleh mendedahkan bahaya kepada sarang dan anaknya yang menetas. Di antara risiko yang paling utama sebenarnya ialah ancaman dari sikap manusia yang selalu mengganggu atau mungkin juga menangkap anak burung tersebut sekiranya ia ditemui.

Untuk makluman, gambar di atas merupakan pasangan sebenar burung Takau Hijau yang dirakam pada tempat dan waktu yang sama.