Balik kampung baru-baru ni sepupu bagi dua batang rebung dari buluh madu. Yang menariknya dengan rebung buluh madu ni dia tidak ada miang. Boleh sentuh dengan tangan kosong pada mana-mana bahagian rebung dan juga buluh tanpa perlu risau terkena miang. Tak macam buluh biasa yang lain, apabila miang terkena kulit, akan berasa gatal dan pedih disebabkannya. Jadi salah satu kelebihan rebung buluh madu ni ialah mudah untuk kita bersihkannya.
Rebung buluh madu |
Sebelum ini memang tak pernah ada pengalaman pun untuk siang rebung ni. Tapi setelah diberitahu serba sedikit caranya oleh sepupu, maka bolehlah saya kongsikan di sini macam mana nak buat dengan rebung ni sebelum boleh dijadikan lauk.
Mula-mula buang kulit luar rebung menggunakan pisau. Caranya ialah tegakkan rebung. Lurutkan mata pisau dari bahagian atas rebung ke bahagian bawah di satu belah sisi rebung sahaja macam dalam gambar di bawah. Kemudian lurutkan pisau di satu lagi bahagian rebung yang bertentangan dengan yang tadi. Selepas ada dua belah sisi bertentangan yang telah dilurutkan kulitnya dengan pisau, anda lebih mudah untuk kupaskan kulit yang selebihnya hanya dengan tangan. Cara ini lebih mudah untuk kita akhirnya dapatkan rebung buluh yang bersih seperti dalam gambar yang berikutnya.
Satu belah sisi yang telah dilurut dengan pisau. Kemudian lurutkan pisau di sebelah lagi satu yang bertentangan dengan yang ini. |
Rupa rebung setelah kulit luar dibersihkan sepenuhnya. |
Kemudian buangkan kedua-dua hujung rebung. Bahagian paling atas biasanya penuh dengan helaian pucuk muda, dan bahagian bawah pula biasanya keras. Dua-dua bahagian tersebut tak sesuai untuk dijadikan lauk. Ambil bahagian yang tengah2 sahaja. Di mana rebungnya lembut dan halus isinya.
Selepas itu bersihkan kulit yang kehijauan tu pulak. Ini juga mudah dilurutkan dengan pisau. Selepas dibuang kulit tersebut rebung akan hanya tinggal batang yang berwarna putih macam kat bawah ni.
Akhir sekali rebung bolehlah dihiris nipis-nipis sesuai untuk saiz dibuat lauk. Tapi mesti ingat, semasa menghiris anda boleh rasa kalau-kalau buluh tersebut keras atau rasa berserat. Itu tandanya bahagian tersebut tidak sesuai untuk dimakan kerana keras dan bersabut. Hiris hanya bahagian yang lembut sahaja.
Siap dihiris |
Setelah hirisan tu dibasuh rebung perlu direbus sebanyak dua kali. Untuk jumlah rebung yang seperti ini saya rebus selama 15 minit setiap kali, sehingga airnya mendidih. Rebusan pertama untuk menghilangkan rasa pahit. Setelah dibuang air rebusan pertama, rebus kali kedua untuk melembutkan lagi rebung dan boleh ditambah garam halus secukup rasa dalam rebusan kedua ini untuk menaikkan lagi rasa enak pada rebung.
Setelah siap direbus, rebung boleh diangkat dan ditoskan airnya. Pada peringkat ini anda boleh rasa keenakan rebung tersebut. Rasanya seakan-akan umbut kelapa. Pada saya rebung segar ni jauh lagi sedap dari rebung jeruk yang biasa dijual di kedai dan pasar.
Rebung segar yang sudah siap direbus dan sedia untuk dimasak sebagai lauk. |
Ni lah hasil lauknya yang dah siap. Rebung segar dan ayam masak lemak cili api memang berselera bila makan. |
Oleh kerana sukanya saya pada rebung ni, saya mintak anak buluh madu ni dari sepupu untuk ditanam di depan rumah. Selain cantik dan boleh menimbulkan susana relaks di satu-satu tempat rebung madu juga boleh mengeluarkan hasil untuk tuannya. Mudah-mudahan anak buluh ni hidup dan boleh la kami merasa makan rebung segara tanaman sendiri pula nanti.